Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, memberi amaran kepada Khairul Fahmi Che Mat dan Ifwat Akmal Che Kassim bahawa kem latihan kebangsaan kali ini adalah medan terbaik untuknya menambat hati jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Selepas melewati beberapa kali kem latihan kebangsaan, misi kali ini membuatkan Hafizul lebih teliti dalam membuktikan kredibiliti sebenarnya selaku yang terbaik dalam kalangan tiga penjaga gol yang dipanggil.

Ia ibarat amaran buat Khairul Fahmi mahupun Ifwat betapa anak buah Mehmet Durakovic itu begitu teruja untuk menyertai kem latihan kali ini dan bersedia untuk menggantikan kedudukan penjaga gol nombor satu negara ketika ini.

"Matlamat pertama saya ialah memberi saingan sengit kepada Khairul Fahmi dan Ifwat (merebut posisi utama).

"Bagi saya, prestasi saya belum sampai di tahap antarabangsa. Banyak lagi yang perlu dipelajari dan ditingkatkan.

"Daripada situ, saya akan memberi saingan kepada dua lagi pesaing saya.

"Kalau diberi peluang oleh Tan Cheng Hoe, saya akan memikul amanah itu," katanya.

Hafizul sudah pun mengesan kelebihan kedua-dua pesaingnya itu lebih awal. Sehubungan itu, dia cuba untuk mengatasinya dengan kredibiliti semasa yang dimilikinya.

"Sebagai penjaga gol, saya perlu belajar dengan semua pemain tanpa mengira faktor umur. Kita tahu kelebihan Ifwat ialah komunikasinya dengan barisan pertahanan serta cekap menggunakan kakinya. Ini kerana Kedah menerapkan gerakan permainan yang bermula dari bawah. Perkara-perkara ini semuanya merupakan peluang untuk saya menimba pengalaman," tambahnya.

Skuad negara bakal menghadapi Fiji di Cheras malam esok dalam siri perlawanan persahabatan kelas A. Ia sebahagian daripada persediaan Harimau Malaya menjelang Kejohanan Piala AFF hujung tahun ini.