Erling Haaland berkata dia masih perlu tingkatkan prestasi selepas meledakkan dua gol hebat tatkala Borussia Dortmund menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Pemain yang menyertai Dortmund bulan lalu itu kini telah menghasilkan 10 gol dalam tujuh perlawanan Liga Juara-Juara musim ini selepas menyumbat lapan gol sewaktu peringkat kumpulan ketika bersama Salzburg.

Sebelum ini, tiada pemain yang menjaringkan 10 gol dalam kurang daripada 11 perlawanan sambil hanya Kylian Mbappe mencapai jumlah jaringan sama pada usia lebih muda.

Haaland juga muncul pemain kelima meraih lebih daripada sembilan gol dalam penampilan sulung di pentas tertinggi Eropah, disusuli dengan Just Fontaine (10 gol ketika 1958-59), Claudio Sulser (11 ketika 1978-79), Sadio Mane and Roberto Firmino (10 gol ketika 2017-18).

Namun, Haaland juga tampak tumpul di depan gawang sebelum rehat ketika berdepan PSG dan menyasarkan untuk meningkatkan prestasi sebelum aksi timbal balik sambil Dortmund berharap dapat mara ke suku akhir.

"Saya tahu banyak perkara perlu dipertingkatkan dan anda saksikannya hari ini," katanya.

"Kami harus terus berusaha. Saya mahu melangkah jauh dalam saingan ini dan bekerja keras.

"Saya tidak terlalu memikirkannya selepas meledakkan gol kedua. Saya menikmati detik itu. Ia sangat hebat.

"Lihat nanti situasi di Paris. Saya perlu bekerja keras dan tampil lebih bagus."

Haaland juga kecewa kerana gawang Dortmund dibolosi susulan jaringan penyamaan pemain termahal dunia, Neymar, sekali gus memberikan harapan kelebihan jaringan di tempat lawan menjelang aksi kedua.

Ditanya jika Dortmund beraksi sempurna, dia menjawab: "Tidak, kerana kami lepaskan gol. Namun, ia berlaku. Kami perlu tingkatkan prestasi dan lihat apa berlaku dalam perlawanan seterusnya."

Rakan sepasukannya, Emre Can, ketika ditanya mengenai Haaland, berkata: "Sudah tentu dia seorang yang hebat, menghasilkan banyak gol. Dia juga seorang yang baik.

"Dia menghiburkan. Diharapkan, dia akan meneruskannya."