Presiden Real Murcia, Victor Galvez, berpendapat Guti bakal dilantilk sebagai pengendali baru Real Madrid.

Gergasi LaLiga itu kini mencari pengganti buat Zinedine Zidan, setelah legenda Perancis itu mencipta kejutan mengumumkan peletakan jawatan selepas lima hari membawa Los Blancos meraih kejuaraan Eropah ketiga dalam masa tiga tahun.

Guti memegang jawatan selaku ketua jurulatih skuad muda Madrid dan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Scotland, St Mirren.

Namun, khidmatnya juga diintai Murcia sehingga keputusan Zidane mempengaruhi hasrat kelab divisiyen tiga Sepanyol itu.

"Guti akan mengendalikan skuad utama Real Madrid, jadi dia tidak akan membimbing Murcia," kata Galvez.

"Saya mahukan khidmatnya. Malangnya, Zidane telah meletakkan jawatan lebih awal walaupun sebelum itu, Guti menghubungi saya untuk mengucapkan terima kasih atas minat yang ditunjukkan terhadapnya."

Dalam masa sama, Guti, yang telah melakukan penampilan sebanyak lebih 500 kali buat Los Blancos ketika bergelar pemain, turut menerima sokongan Zidane sendiri.

"Ya, saya dapat lihat kemampuannya. Dia telah mempersiapkan diri untuk bergelar pengurus di masa depan dan mungkin Madrid adalah tempat untuknya.

"Guti adalah individu daripada Real Madrid sendiri, sentiasa ada bersama pasukan. Satu hari nanti, impiannya akan terlaksana," ujar Zidane.