Pep Guardiola menyifatkan pengadil perlawanan, Mateu Lahoz, sebagai insan istimewa yang sering mahu tampil lebih daripada pemain di atas padang susulan kekalahan Manchester City di tangan Liverpool dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

City tampak mendominasi aksi di Etihad dan selepas Gabriel Jesus membuka tirai jaringan, Leroy Sane tampak menggandakan kelebihan tetapi jaringan pemain Jerman itu dibatalkan kerana ofsaid walaupun James Milner dilihat terlebih dahulu menyentuh bola tersebut.

Situasi itu membuatkan Guardiola mempersoalkan tindakan Lahoz ketika tamat babak pertama sehingga diarahkan untuk duduk di bangku penonton, hanya untuk menyaksikan kebangkitan Liverpool.

"Ia sama seperti dalam aksi sebelum ini, menentang Manchester United. Minit ke-78, penalti terbaik pernah saya saksikan dalam karier dan Martin Atkinson tidak mahu meniupkan wisel.

"Kedua-dua pasukan sangat bagus tetapi keputusan sebegini yang memberikan perbezaan. Tahniah buat Liverpool, namun ketika ini kami rindukan keputusan yang adil," kata Guardiola.

"Saya memberitahu pengadil bahawa jaringan Sane itu sah. Saya tidak mengherdiknya kerana saya bersopan-santun. Lahoz adalah seseorang yang sentiasa sukakan kelainan, dia istimewa.

"Saya tahu apa yang terjadi di Monaco pada musim lalu hasil sepakan penalti Sergio Aguero ketika kedudukan seri 1-1. Apabila semua orang melihat suatu perkara, dia akan membuat keputusan sebaliknya. Saya tidak bercakap apa-apa yang salah.

"Tentunya berbeza apabila kedudukan 1-0 atau 2-0. Kelainannya adalah jaringan Salah di Anfield sebelum ini, dia berada di posisi ofsaid. Dalam aksi besar, kesannya juga sangat besar," ujarnya.