Bintang Perancis, Antoine Griezmann, menyalahkan dirinya sendiri selepas gagal membantu pasukan mengelak daripada tewas 1-2 di tangan Chelsea dalam aksi di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Griezmann menjaringkan gol pembukaan perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 sebelum Alvaro Morata menyamakan kedudukan buat pelawat menerusi tandukan pada minit ke-60 dan jaringan dalam waktu kecederaan oleh Michy Batshuayi menyebabkan Atletico terpaksa berputih mata.

Jelas Griezmann, dia tidak bermain dengan baik walaupun mencatat nama dalam senarai penjaring.

"Mungkin kami tidak dapat beraksi dengan baik disebabkan saya. Saya menjaringkan gol tetapi tidak mempamerkan persembahan yang bagus.

"Chelsea jelas pasukan yang lebih hebat dan itu tidak dapat disangkal. Kami perlu cuba memenangi kesemua baki perlawanan," kata Griezmann.

Pengendali Atletico, Diego Simeone, turut mengakui kualiti yang dimiliki oleh pasukan pelawat.

"Pasukan lawan membuktikan mereka lebih bagus, lebih selesa dalam setiap aspek dan berhak untuk menang.

"Secara taktikal dan fizikal, mereka begitu pantas. Anda harus mengucapkan tahniah kepada pasukan yang bermain seperti Chelsea," ujar Simeone.