Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, menjelaskan dia tidak kecewa selepas dikaitkan dengan perpindahan dari Atletico Madrid ke Barcelona.

Griezmann, yang menjaringkan dua gol buat Atletico dalam final Liga Europa musim ini, dilaporkan memiliki klausa perpindahan bernilai EUR100 juta (RM464 juta) di dalam kontraknya.

Kecemerlangannya bersama skuad Rojiblancos itu membuatkan Barca tertarik untuk mendapatkan khidmatnya dan Griezmann baru-baru ini memberitahu pihak media bahawa dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum Piala Dunia 2018.

Dalam masa sama, dia yang kini bersama skuad Les Bleus untuk melakukan persiapan menjelang aksi di Russia, tidak kecewa dengan spekulasi tentang masa depannya yang terus dibincangkan.

"Tidak, saya tidak kecewa. Saya yakin sepenuhnya," kata Griezmann.

"Apa yang paling penting ketika ini adalah saya gembira, tidak kira apa pun berlaku.

"Saya mempercayai pasukan, kami perlu sentiasa yakin dengan kemampuan kami dan melakukan apa sahaja untuk cuba mempamerkan aksi terbaik dalam Piala Dunia."