Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menyifatkan Antoine Griezmann telah memberikan segala kudratnya selepas aksi hambar yang dipamerkan dalam suku akhir kedua Liga Europa.

Griezmann melepaskan dua peluang keemasan ketika pasukannya tewas 1-0 di tangan Sporting Lisbon pada awal pagi tadi, namun skuad kendalian Simeone meneruskan kemaraan ke separuh akhir Liga Europa menerusi kemenangan agregat 2-1.

Penyerang Perancis yang tampil dengan gaya rambut baru itu telah menyumbat 17 gol dalam 16 aksi terakhirnya buat Atletico tetapi tampak tumpul berdepan Sporting.

Bagaimanapun, Simeone yang menyaksikan Diego Costa terpaksa dibawa keluar pada babak kedua akibat kecederaan tidak merasakan Griezmann beraksi bawah tahap sebenar.

"Sukar untuk Griezmann menjadi lebih tajam berbanding apa yang telah disumbangkan sebelum ini.

"Kami gembira kerana sekali lagi seluruh pasukan telah membuktikan kemampuan mereka.

"Lucas Hernandez dan Costa mengalami kecederaan dan pasukan terus mempamerkan usaha yang begitu tinggi," ujar Simeone.

Atletico merupakan juara Liga Europa edisi 2010 dan 2012 dan bagi Simeone, dia lebih suka untuk fokus dalam nada positif bagi membawa pasukannya menuju final ketiga di Eropah dalam masa lima tahun.

"Kami sentiasa percaya. Saya hidup dalam kebanggaan bahawa kami antar a terbaik di Eropah dan kali ini dalam Liga Europa. Inilah realiti kami yang sebenar.

"Untuk peminat-peminat Atletico, tentunya menjadi satu penghormatan untuk berada dalam kelompok empat terbaik saingan Eropah."