Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, menamatkan spekulasi perpindahannya ke Barcelona apabila mengumumkan dia akan kekal bersama Atletico Madrid selepas Piala Dunia.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakhiri desas-desus selama beberapa bulan yang mengaitkannya untuk ke Camp Nou dengan membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan itu yang disertai dari Real Sociedad pada 2014.

Sebelum ini, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan ejen Griezmann dalam usaha untuk membawanya menyertai Barca.

Lionel Messi turut memberi kenyataan menyokong pemain itu untuk berpindah ke Barca tetapi wira dua gol Atletico dalam final Liga Europa sewaktu berdepan Marseille itu menegaskan dia tidak akan ke mana-mana.

"Saya membuat keputusan untuk kekal," kata Griezmann dalam dokumentari menerusi Movistar.

"Mereka melakukan segalanya untuk memastikan Atletico terus berkembang dan diharapkan kami dapat beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri tahun depan.

"Atletico akan cuba membawa masuk pemain yang hebat dan ia memberikan perbezaan," tambahnya.

"Saya rasa masih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan bersama Atletico.

"Jika Atletico membawa masuk pemain yang bagus, kami mampu memenangi Liga Juara-Juara dan mencatat sejarah buat kelab.

"Di sini, saya akan mencipta sejarah tetapi jika di Barca, saya hanya menambahnya."