Antoine Griezmann menyifatkan dirinya cuba untuk membuat penyokong Atletico Madrid gembira selepas melalui masalah pada awal tahun ini.

Penyerang Perancis itu membantu Atletico mencatat kemenangan 4-0 ke atas Leganes dalam saingan LaLiga pada awal pagi tadi, yang menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan kesemua empat gol di Wanda Metropolitano.

Hatrik yang dicipta itu merupakan rekod keduanya dalam masa empat hari selepas turut menjaringkan tiga gol ketika menentang Sevilla, Ahad lalu, membolehkannya kini mengutip 100 jaringan bersama Atletico.

"Anda harus menikmatinya. Saya cuba menghiburkan penyokong," kata Griezmann kepada beIN SPORTS selepas mengutip 15 gol liga bagi musim 2017/18.

"Mungkin saya melakukan kesilapan sebelum ini tetapi di atas padang, saya tidak salah. Saya sangat gembira dan kami akan meneruskan prestasi ini.

"Saya meminta penyokong menutup mulut sebelum ini tetapi saya harap di pengakhirannya nanti, anda akan menikmatinya."

Griezmann telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona pada hujung musim ini, namun situasi berkenaan tidak menggugat skuad kendalian Diego Simeone itu apabila terus memberikan tekanan kepada pendahulu liga itu.

"Saya gembira dengan prestasi saya tetapi seperti yang dikatakan sebelum ini, apa yang penting adalah meraih tiga mata.

"Kami akan bertemu Barcelona selepas ini dan kita akan tahu sama ada kami mampu melakukannya atau tidak.

"Kini masih terdapat 12 perlawanan dan kami akan cuba memenangi kesemua aksi itu," tambah Griezmann.