Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, terus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya bersama Atletico Madrid melalui laman sosial Instagram miliknya, semalam.

Masa depan Griezmann bersama Atletico menjadi persoalan sejak beberapa bulan lalu selepas dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan yang baru menjuarai Liga Europa, Manchester United.

Bagaimanapun, beberapa laporan di England menyatakan bahawa minat skuad Red Devils untuk mendapatkan khidmat pemain yang memiliki klausa perpindahan bernilai EUR100 juta itu dikatakan berkurangan.

Selepas keputusan mengenai penggantungan pembelian pemain buat Atletico dibacakan, Griezmann telah menulis “"Ahora mas que nunca #Atleti” yang bermaksud “kini lebih daripada segalanya #Atleti” di laman Instagram.

Skuad Los Rojiblancos dilarang daripada membawa masuk pemain baru sehingga Januari 2018 selepas didapati melanggar peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai urusan pendaftaran pemain muda.

Keputusan itu menjadikan Griezmann harapan utama pengendali, Diego Simeone, menjelang musim 2017-18.

Griezmann telah menjaringkan 83 gol dalam 160 penampilan dan berada di tempat ketiga dalam undian anugerah Ballon d'Or 2016 di belakang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.