Antoine Griezmann menegaskan masa depannya di Atletico Madrid berada di tangan presiden, Enrique Cerezo, sambil dia gembira di kelab itu apabila bersedia membuat keputusan ke atas langkah seterusnya.

Masa depan Griezmann menjadi tumpuan selepas tamat musim dengan Manchester United paling banyak dikaitkan dengan penyerang kelahiran Perancis itu.

Pemain berusia 26 tahun itu membuat peminat tidak senang duduk dengan memberitahu satu program Le Quotidien TMC di tanah airnya bahawa terdapat "enam daripada 10" peluang dia akan mewakili United musim depan.

Selain itu, dalam majlis pelancaran autobiografinya minggu lalu, Griezmann berkata ia akan menjadi "tiada masalah" untuk meninggalkan Atleti dan "bersedia untuk pergi".

Dia kemudian menarik balik pendiriannya pada Sabtu lalu menerusi satu tweetnya "masih Colchonero" dan Griezmann kini memberitahu Minute O bahawa wakilnya sedang berbincang dengan Atleti dan meminta pandangan rakan sepasukan, Koke dan Diego Godin, serta ketua jurulatih, Diego Simeone.

"Saya berasa baik di kelab saya, ejen saya sedang berbincang dengan Atletico jadi kita akan lihat apa yang berlaku," kata pemain yang menamatkan kempen musim ini dengan 26 gol dalam semua pertandingan.

"Saya akan membuat keputusan pada musim panas ini.

"Seperti yang saya katakan, saya gembira di sini, saya telah berbincang dengan jurulatih saya (Simeone), Koke dan Godin. Ia dalam tangan presiden kelab, kita akan lihat bagaimana nanti."

Pada hujung minggu lalu, Cerezo menawarkan jaminan Griezmann akan kekal di Atletico apabila mereka berpindah ke stadium baru, Wanda Metropolitano, pada awal musim depan.

Bercakap kepada akhbar Sepanyol, Koke memberi amaran bahawa tiada pemain yang lebih besar daripada kelab.

"Jika Griezmann keluar, kami ada (Fernando) Torres, (Kevin) Gameiro, (Angel) Correa dan (Yannick) Carrasco," kata Koke.

"Dia seorang pemain yang amat penting untuk kami, kami tahu kualiti dia, tetapi yang paling penting tiada seorang pemain lebih besar daripada kelab."