Antoine Griezmann berada di kedudukan yang baik untuk memenangi Ballon d'Or 2018, kata jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone.

Griezmann meledak dua gol dalam kemenangan final Liga Europa di Marseille pada Mei lalu sebelum membantu Perancis menjulang Piala Dunia di Russia.

Semalam, penyerang berkenaan dinamakan salah seorang ketua pasukan barunya selepas merekod tiga gol dalam kejayaan Les Bleus di Russia, termasuk penalti dalam aksi final melawan Croatia.

Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi telah menguasai anugerah berprestij berkenaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan setiap seorang menguasai anugerah tersebut sebanyak lima kali.

Begitupun, Simeone percaya Griezmann, yang menandatangani kontrak jangka panjang baru untuk setia bersama Atleti -- sekali gus menamatkan khabar angin mengenai perpindahan ke juara LaLiga, Barcelona -- berada di laluan tepat untuk meraih anugerah tersebut.

"Ballon d'Or merupakan keputusan yang akan dibuat oleh mereka yang arif mengenai perkara ini," kata Simeone kepada wartawan. "Tetapi, jelas sekali bahawa Griezmann berada di kedudukan yang hebat.

"Bola sepak adalah luar biasa kerana tiada siapa yang betul -- anda boleh menang dengan cara yang berbeza. Kita melihatnya sekali lagi apabila Perancis memenangi Piala Dunia atas beberapa ciri yang serupa dengan Atletico."

Atletico akan berdepan musuh setempat, Real Madrid, bagi perebutan Piala Super UEFA di ibu kota Tallinn di Estonia pada awal pagi esok untuk aksi kompetitif pertama mereka sempena musim baru ini.

Simeone, bagaimanapun, tidak memberi sebarang petunjuk mengenai pemilihan skuad kemungkinannya ketika ditemui dalam sidang media pra-perlawanan semalam sambil kelibat Griezmann diragui susulan bercuti panjang selepas kempen Piala Dunia.

"Setiap orang yang ada boleh beraksi. Sehingga detik tengah hari esok, mereka tidak akan tahu siapa yang akan memulakan permainan," kata Simeone.

"Berdasarkan dua perlawanan terakhir, mungkin kita dapat melihat gambaran perlawanan esok. Real Madrid memberi tekanan dengan baik ketika kehilangan bola serta tekanan tinggi ketika cuba merampas semula bola. Itulah yang (Julen) Lopetegui lakukan sebagai jurulatih kebangsaan Sepanyol. Saya bayangkan dia akan menerapkan acuan yang sama.

"Jelas sekali belanjawan kami tidak sama tetapi daripada segi motivasi, kami tidak pernah berasa lebih rendah daripada sesiapapun. Dalam perlawanan ini, kami akan cuba dan melakukan segala yang mampu untuk menjelmakan permainan seperti yang kami idamkan.

"Pemain handalan mahu datang ke Atletico Madrid manakala pemain muda tidak mahu pergi -- Koke, Saul (Niguez), Lucas (Hernandez), Thomas (Partey) -- dan terus berkembang bersama kelab. Ia adalah hasil kerjasama kelab ini dan kami (jurulatih) untuk terus meningkat dan bertambah baik.

"Yang penting ialah bermain dengan keghairahan dan emosi. Ia akan menentukan perlawanan ini."