Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menyifatkan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, berada dalam “kelas tersendiri” selepas membantu pasukan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Athletic Bilbao dalam saingan LaLiga, awal pagi tadi.

Griezmann menampilkan aksi memukau di San Mames walaupun dua jaringannya dibatalkan, namun cukup buat Simeone untuk mengklasifikasikan aksi tersebut sebagai yang terbaik daripada Griezmann musim ini.

"Ia adalah aksi terbaiknya pada musim ini. Dia berada dalam kelas tersendiri, memberikan kami perjuangan,” kata Simeone.

“Dia memasuki kawasan bahaya dengan visi. Hantarannya kepada Yannick Carasco adalah amat istimewa.

“Saya rasa pasukan beraksi dengan baik. Untuk menang di sini, anda tiada pilihan lain kecuali dengan aksi terbaik,” tambahnya.

Skrip perlawanan pastinya berlainan jika penyerang Athletic, Aduriz, berjaya menyempurnakan sepakan penalty ketika kedudukan terikat 0-0. Namun, penjaga gol, Jan Oblak, yang dinamakan Simeone sebelum ini sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia, berjaya menafikan peluang itu.

"Oblak melakukannya dengan baik, menghalang sepakan penalti itu dan membantu kami dalam seluruh perlawanan.

"Dia adalah seorang penjaga gol yang penting, salah seorang yang terbaik di dunia,” ujarnya.