Marcel Desailly memilih Antoine Griezmann selaku kunci utama buat pasukan Perancis dalam skuad Piala Dunia dan menyamakan bintang Atletico Madrid itu dengan bekas rakan sepasukannya, Zinedine Zidane.

Dua hari lalu, Griezmann mengesahkan kesetiaannya bersama Atletico dan dia dijangka akan mengetuai barisan serangan Perancis bagi aksi bertemu Australia, petang ini.

Desailly, yang ditemui di Itali, menyifatkan pemain berusia 27 tahun itu mampu memberikan kualiti yang diperlukan Les Bleus untuk memenangi setiap perlawanan, sama seperti apa yang ditampilkan Zidane ketika kempen di laman sendiri, 20 tahun lalu.

"Saya rasa Didier Deschamps memberikan gambaran jelas bahawa Griezmann adalah kunci utama buat skuad Perancis," katanya.

"Dia adalah pemain yang mampu mengubah corak perlawanan dan menyuntik ketajaman dalam setiap serangan pasukan.

"Griezmann adalah pemain utama untuk pasukan ini, sama seperti apa yang pernah Zidane lakukan," ujarnya.

Dalam masa sama, Desailly menganggap keputusan Deschamps untuk tidak manamakan Anthony Martial, Kingsley Coman dan Alexander Lacazette mungkin berdasarkan persembahan mereka ketika Kejohanan Eropah 2016.

"Tentang Martial, Lacazette dan Coman, saya bersetuju dengan pilihan Deschamps.

"Dia mungkin menyedari bahawa pemain-pemain tersebut berada satu tahap di bawah berbanding apa yang dia mahukan. Ia juga dilakukan berdasarkan falsafah permainan yang diterapkan dalam pasukan."