Presiden Gremio, Romildo Bolzan, menyangkal dakwaan bahawa persetujuan bernilai EUR40 juta (RM192 juta) di antara pasukannya dan Barcelona bagi menyelesaikan perpindahan pemain tengah, Arthur.

Barca merupakan pasukan yang telah lama menyatakan minat terhadap khidmat pemain berusia 21 tahun itu dan dia dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sejak hujung tahun lalu selepas Arthur menjadi watak utama dalam membawa Gremio memenangi kejuaraan Copa Libertadores.

Situasi itu terus diperkuatkan lagi apabila Arthur dilihat bergambar bersama pengarah sukan, Robert Fernandez, sambil mengenakan jersi pasukan Catalan itu.

Dalam masa sama, walaupun pihak Gremio tidak gembira dengan perkembangan itu, mereka meneruskan perbincangan dengan Barca sehingga wujud laporan bahawa persetujuan telah dicapai kelmarin.

Bagaimanapun, Gremio menyifatkan ia tidak benar dan mendedahkan segala percubaan untuk membawa Arthur ke Sepanyol masih menemui jalan buntu.

"Setakat ini, tiada perjanjian yang telah dicapai," kata Bolzan kepada Radio Bandeirantes.

"Memang wujud perbincangan beberapa kali tetapi ketika ini, segala kata putus masih belum dicapai untuk perpindahan itu," jelasnya.