BELGIUM 1 GREECE 1

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez, menuduh Greece bermain "buruk, secara fizikal" selepas pasukannya seri 1-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Stade Roi Baudouin, awal pagi tadi.


Red Devils turun beraksi sebagai pasukan pilihan apabila memenangi semua empat perlawanan dalam Kumpulan H sebelum ini dan menduduki tangga teratas tetapi Kostas Mitroglou menjaringkan gol pada minit pembukaan separuh masa kedua untuk membawa Greece di depan.

Greece bermain dengan 10 orang apabila Panagiotis Tachtsidis dibuang padang sebelum Romelu Lukaku menyamakan kedudukan pada minit ke-89, dan terdapat kad merah lagi untuk pelawat menerusi Georgios Tzavellas pada masa kecederaan tetapi Belgium gagal mencari gol kemenangan.

Beberapa pemain utama Belgium tidak beraksi sepanjang perlawanan itu dan Martinez mengkritik keadaan padang selepas perlawanan, dengan berkata: "Emosi saya bercampur-baur. Terdapat banyak kekecewaan, juga tentang padang. Tetapi saya gembira kami dapat mengelak kekalahan.

"Prestasi yang tidak mencukupi untuk perlawanan di laman sendiri tetapi Greece bermain dengan buruk, bermain secara fizikal."

Belgium turun tanpa bintang Liga Perdana Inggeris, Eden Hazard dan Kevin De Bruyne, tetapi masih berjaya mencipta beberapa peluang, dengan Marouane Fellaini dua kali hampir menyumbang gol pada separuh masa pertama manakala Dries Mertens dan Axel Witsel mensia-siakan peluang dalam lewat permainan.

Martinez mendakwa kehilangan beberapa pemain adalah satu faktor yang menyebabkan kebuntuan itu, sambil berkata: "Sudah tentu kami rasa kehilangan Hazard dan De Bruyne.

"Mana-mana pasukan akan rasa, bukan sahaja kami."

Jurulatih Greece, Michael Skibbe, gembira kerana dapat menuntut satu mata yang membawa pasukannya hingga ke tempat kedua dalam kumpulan dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Saya amat berpuas hati. Mata itu baik dan pemain menjalankan perancangan untuk membawa kami mendapatkan ganjaran.

"Kumpulan itu kekal terbuka. Kami perlu lalui satu perlawanan ke satu perlawanan dan bermain seperti kami tahu kami boleh."

Dia menambah: "Saya tidak mahu bercakap mengenai kad merah."