Gomez pilihan tepat

By Thani Hasbullah 29 March 2017
Gomez pilihan tepat
Bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan, menyifatkan pelantikan Mario Gomez sebagai jurulatih skuad negara adalah berlandaskan pencapaian bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan sebelum ini.

Bagi Shukor, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, membuat keputusan tepat dengan memberi kepercayaan kepada Gomez.

Kejayaan meraih dua kejuaraan Liga Super dan juga Piala AFC bersama JDT pada 2015 membuktikan Gomez mampu menggalas tugas bersama skuad negara.

"Dia ada pengalaman dalam liga kita, dia mengenali pemain tempatan. Jadi, saya rasa tidaklah menyusahkan untuk Gomez membawa pasukan kebangsaan akan datang ini dan saya harap dia dapat lakukan yang tebaik untuk skuad negara.

"Kalau kita lihat sekarang ini pun, pencapaian skuad negara agak merosok sekali dan diharapkan pelantikan Gomez dan pelantikan TMJ sebagai Presiden FAM yang baru, kita harap ada perubahan," katanya.

Shukor percaya Gomez akan menerapkan corak taktikal berbeza dalam usaha memberi nafas baru buat skuad kebangsaan.

Nada sama turut disuarakan penjaga gol Felda United dan Kebangsaan, Farizal Harun.

"Saya rasa ada bagusnya juga, mungkin kita ada sedikit idea baru dan mungkin menerapkan permainan pantas ataupun boleh membuat penguasaan yang lebih di atas padang, saya rasa," katanya.

Dua tahun tempoh yang dianggap singkat namun Gomez berjaya membawa JDT melakar banyak kejayaan yang turut memecahkan rekod baru seperti menjulang kejuaraan Piala AFC pada 2015 dan tidak pernah tewas dalam sebarang perlawanan pada saingan musim 2016 untuk muncul juara liga super tahun itu.

Sentuhan magis itu diperlukan Malaysia dalam menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2019 di mana Malaysia akan berdepan Korea Utara yang ditunda pada 8 Jun ini, sebelum bertemu Lubnan lima hari kemudian dan Hong Kong pada September.

About Author

Thani Hasbullah

Comment