MALAGA 0 BARCELONA 2

Walaupun tanpa kelibat Lionel Messi, Barcelona tidak berdepan masalah untuk terus mencengkam kedudukan takhta LaLiga apabila menewaskan skuad tercorot, Malaga, 2-0 di Stadium La Rosaleda, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Ernesto Valverde itu bertandang ke tempat lawan tanpa kehadiran Messi selepas penjaring terbanyak liga itu menyambut kelahiran anak ketiganya.

Bagaimanapun, situasi itu langsung tidak mengganggu corak permainan Barca apabila Luis Suarez membuka tirai jaringan pada minit ke-15.

Larian deras Jordi Alba diteruskan dengan hantaran lintang ke dalam kotak penalti dan penyerang Uruguay itu tidak berdepan masalah untuk menanduk bola masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Roberto, bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Barca, yang kini muncul pasukan ketiga meraih catatan tanpa kalah sejak Real Madrid dan Real Sociedad melakukannya, berpeluang untuk menambah jaringan enam minit kemudian tetapi percubaan Paulinho sekadar singgah ke tepi jaring.

Asakan bertali-arus skuad Catalan itu akhirnya berhasil apabila Philippe Coutinho mengambil giliran untuk meletakkan nama di dalam senarai penjaring.

Lorongan bola leret dari sebelah kanan oleh Ousmane Dembele menemui bekas pemain Liverpool itu di tengah dan Coutinho bijak menguis bola menggunakan tumit untuk memperdayakan Roberto buat kali kedua.

Selepas tamat babak pertama dengan kedudukan 2-0, aksi separuh masa kedua lebih banyak menampilkan bola di tengah padang.

Walaupun sesekali tuan rumah cuba melakukan serangan balas untuk merapatkan jurang, kekebalan benteng Barca yang diketuai Gerard Pique kebal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan 2-0 itu meletakkan Barca selesa dengan kelebihan 11 mata di atas Atletico Madrid, namun skuad bimbingan Diego Simeone itu berpeluang mengurangkan defisit jika menewaskan Celta Vigo malam ini.