Pemain pertahanan skuad B-19 negara, Gerald Gadit, mengucapkan selamat berjuang kepada rakan sepasukannya yang bakal beraksi dalam final Kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya, malam esok.

Mengakui sedih kerana terpaksa kembali ke Malaysia selepas mengalami kecederaan lutut, pemain Piala Presiden Sabah itu tetap yakin rakan-rakannya mampu menyaingi Myanmar, sekali gus menjuarai kejohanan itu.

"Rakan-rakan saya pasti akan melakukan yang terbaik, mereka telah membuktikannya ketika menewaskan tuan rumah dalam aksi separuh akhir malam tadi.

"Memang sedih kerana tidak dapat terus berjuang bersama mereka, terutama ketika mereka menghadapi cabaran sengit dalam separuh akhir semalam dan juga dalam final," katanya ketika dihubungi hari ini.

Gerald sebelum ini beraksi sebagai pemain gantian dalam aksi pertama Malaysia bertemu Kemboja, kemudian membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan kedua menentang Brunei.

Bagaimanapun, pemain berasal dari Tenom itu terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua ketika bertemu Brunei kerana mengalami kecederaan lutut, seterusnya terlepas perlawanan ketiga bertemu Myanmar dan separuh akhir bertemu Indonesia, malam tadi.

Dia bersama-sama dengan penyerang Kedah, Akhyar Rashid, terpaksa meninggalkan kem pasukan B-19 negara untuk menerima rawatan susulan di Kuala Lumpur.

Malaysia, yang menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam separuh akhir malam tadi, sekali lagi bakal bertembung Myanmar di pentas final, malam esok.