Gennaro Gattuso menyifatkan dirinya bukan seorang "guru" kejurulatihan selepas membawa AC Milan layak ke final Piala Itali, namun mengakui dia telah membuka mata banyak pihak.

Milan bakal melakukan perhitungan dengan juara bertahan Serie A, Juventus, dalam aksi final Piala Itali susulan kejayaan menundukkan Lazio menerusi penentuan penalti 5-4, awal pagi tadi.

Selepas Gianluigi Donnarumma menyelamatkan dua sepakan lawan, Alession Romagnoli tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan tugasan penalti, yang membolehkan skuad Rossoneri itu menikmati 13 perlawanan tanpa kalah sejak berada di bawah kendalian Gattuso.

"Saya tahu kadangkala saya tampak terlalu tegas, mahu pasukan berlatih di dalam hujan tetapi ia berbaloi. Pasukan kini memiliki skuad yang muda dan kami perlu menggapai segala impian peminat terhadap AC Milan.

"Pengendali sebelum ini, Vincenzo Montella, juga harus diberikan pujian selepas memperkenalkan beberapa konsep, termasuk pengawalan bola dan hantaran bersih.

"Saya mahu menjelaskan, saya bukan pengurus terbaik. Saya masih baru dan bukan pakar kerana masih belum menjulang sebarang kejuaraan," kata Gattuso.

"Dalam masa sama, saya bukan apa yang anda lihat. Ramai orang lupa apa yang telah saya kerjakan dalam lima tahun, memenangi kejuaraan Lega Pro, jadi saya memiliki pengalaman dalam keadaan yang berbeza.

"Ini adalah impian dan saya bertuah meraih peluang untuk mengendalikan pasukan ini. Jika mampu kekal, sudah tentu saya akan kekal bersama Rossoneri kerana ini adalah rumah saya. Jika tidak, saya akan menimba pengalaman di tempat lain," ujarnya lagi.