Selepas dilanda kemelut kewangan sejak akhir tahun lalu, pasukan Felda United FC (FUFC) mengambil langkah proaktif dengan membariskan 60 peratus pemain muda warga Felda untuk musim 2019.

Presiden FUFC, Anuar Malek, berkata pendekatan itu adalah bagi memastikan pasukan itu dapat pulih daripada kemelut tersebut selain memberikan peluang kepada anak-anak warga Felda membuktikan kemampuan mereka dalam bola sepak.

Bagi musim ini, skuad The Fighters membariskan lapan pemain yang merupakan warga Felda manakala tujuh pemain naik menerusi program pembangunan Felda, katanya.

Anuar, yang juga Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, turut berjanji bahawa pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji dan bonus kepada pegawai dan pemain musim 2018, yang membantu FUFC muncul juara Liga Premier, dalam masa dua bulan lagi.

"Saya baru 11 hari memegang jawatan (presiden) ini. Kami sedang melihat penyelesaian masalah-masalah yang ada. Kami telah berbincang dengan pengurusan tertinggi dan mereka dah bersetuju membantu menyelesaikan tunggakan itu secara berperingkat.

"Buat masa ini, kami sudah membayar gaji sebulan, kini tinggal dua bulan lagi dan kami akan berusaha untuk menyelesaikannya. Ini merupakan kali pertama FUFC mengalami masalah tunggakan gaji," katanya dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan pemain import FUFC di Institut Semarak, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa bekas ketua jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan, mahu membawa isu tunggakan gaji dan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anuar berkata pihaknya juga akan berbincang dengan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangani isu itu secara profesional selain seboleh-bolehnya tidak mahu geran pasukan itu dipotong MFL untuk melangsaikan hutang tersebut.

Selain mengekalkan tonggak pertahanan dari Brazil, Thiago Junio De Aquino, FUFC membawa masuk tiga pemain import baru bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Mereka adalah pemain tengah, Jocinei Schad, 29, dari Brazil, penyerang dari Bahrain, Jaycee Jhon Okwunwanne, 34, serta pemain tengah yang turut boleh beraksi di posisi penyerang, Kei Ikeda, 33, dari Jepun.

Penjaga gol, Norazlan Razali, Mohamad Hadin Azman, D. Christie Jayaseelan dan S. Chanturu, ketiga-tiganya pemain tengah, merupakan antara pemain berpengalaman dalam pasukan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih FUFC, Mohd Nizam Jamil, yakin anak-anak buahnya mampu memberikan saingan kepada pasukan lain walaupun masih muda dan kurang pengalaman beraksi dalam saingan liga tertinggi itu.

"Pemain-pemain ini perlu diberikan peluang untuk menunjukkan siapa mereka walaupun sekarang ini kita belum mengetahui kemampuan sebenar mereka.

"Saya rasa mereka juga akan menunjukkan usaha yang lebih dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana sebagai warga Felda, mereka mempunyai ‘semangat kita punya’ dan mencintai pasukan," katanya.

-- BERNAMA