Brazil mengesahkan bahawa pemain tengah berusia 25 tahun, Fred, memerlukan proses imbasan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika sesi latihan.

Dia kini dalam proses melengkapkan perpindahan ke Manchester United dari Shaktar Donetsk selepas bersetuju dengan syarat perpindahan pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, tempatnya dalam pasukan Brazil dalam Piala Dunia menjadi persoalakan selepas dilihat mengalami kecederaan ketika sesi latihan semalam.

Doktor pasukan Selecao, Rodrigo Lasmar, menjelaskan bahawa situasi Fred akan dipantau tatkala skuad bimbingan Tite itu bakal berdepan Austria pada Ahad ini bagi aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan saingan Piala Dunia 2018.

"Hari ini, Fred mengalami trauma terhadap keadaan buku lalinya tetapi masih terlalu awal untuk mengesahkan sebarang perkara," kata Lasmar.

"Kami akan mengetahui maklumat lanjut esok dan akan membuat keputusan sama ada melakukan pemeriksaan atau tidak.

"Bagaimanapun, ketika ini segalanya masih terlalu awal buat Fred."