Badan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), memberi tempoh lanjutan kepada PKNS FC untuk mengesahkan penyertaan mereka bagi musim depan selepas kelab itu tidak dapat membuat pengesahan hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, PKNS menerusi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), memohon tempoh lanjutan selama seminggu.

FMLLP bersetuju dengan permohonan itu kerana pengurusan FAS dan PKNS kini dalam proses menyelesaikan kekeruhan yang berlaku di antara mereka.

"Saya berasa ini satu perkara yang memberangsangkan kerana FAS dan PKNS sedang berurusan untuk menyelesaikan semua salah faham yang ada.

"Jika ada masalah lain berkaitan pendaftaran, mungkin kami tidak akan membenarkan lanjutan pengesahan," katanya.

Difahamkan, FAS kini hanya menanti kata putus presiden mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk memberi sokongan buat PKNS beraksi musim depan.

Selaku ahli gabungan FAS, PKNS memerlukan sokongan FAS untuk beraksi selaras dengan syarat pertandingan Liga Malaysia 2013-2016.

Dalam pada itu, Kevin mengesahkan DRB-Hicom tidak akan beraksi lagi dalam saingan Liga Perdana musim depan apabila pengurusan kelab itu memohon untuk menarik diri kepada FMLLP.

"Amat kecewa bagi kami untuk melihat sebuah pasukan yang baik, diurus dan ditadbir dengan baik, terpaksa menarik diri kerana mereka berasa tidak mampu untuk terus bersaing di dalam liga buat masa ini. Kami berharap mereka akan kembali beraksi dalam Liga Malaysia," tambah Kevin.

FMLLP akan menentukan pasukan yang bakal menggantikan DRB-Hicom esok.

Sementara itu, Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, turut mengesahkan isu penyertaan kelab itu bakal terlerai.

"Kami akan cuba menuruti permintaan FAS, di mana persetujuan itu perlu datangnya daripada pihak presiden sendiri.

"Insya-Allah jika tiada apa-apa halangan, kami mungkin akan beraksi," jelasnya.

Mahfizul juga optimis PKNS dan FAS mampu meleraikan kekusutan ini dengan semangat kekeluargaan.

"PKNS dan FAS tiada masalah dan kami menerima perkara itu dengan hati yang terbuka.

"Perkara yang sedang berlaku kini, untuk kami menyatakan sama ada ia masalah teknikal atau ada agenda lain, kami sendiri tidak mengetahuinya.

"Dengan ikhlas hati, kami mencuba untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaik mungkin," katanya.