Mathieu Flamini menafikan bahawa dia kini mempunyai wang berjumlah EUR30 bilion (RM142 bilion) di dalam akaun bank peribadinya.

Forbes melaporkan bekas pemain tengah Arsenal itu yang kini beraksi buat Getafe dalam saingan LaLiga, telah mengumpul kekayaan menerusi syarikatnya, GF Biochemicals, yang mencipta asid levulinic.

Bagaimanapun, Flamini yang pernah membarisi skuad kebangsaan Perancis, menafikannya sambil tidak mahu status pemain bola sepak terkaya dunia diletakkan kepadanya.

“Sudah tentu penting untuk menjelaskan semua perkara,” kata Flamini kepada L’Equipe.

“Berbeza dengan apa yang saya baca, saya tidak mempunyai RM142 bilion di dalam akaun bank peribadi.

“Malah, nilai ini bukan berdasarkan penilaian syarikat saya, GF Biochemicals.”

Dia juga menjelaskan bagaimana nilai itu telah disalahertikan sebagai jumlah kekayaan yang dimilikinya, sekali gus menjadi salah seorang individu terkaya dunia.

“Sebenarnya, jumlah RM142 bilion itu adalah nilai keseluruhan pasaran yang kami mahu sertai bersama teknologi yang telah kami bangunkan sejak beberapa tahun ini.

“Ia telah berlaku satu salah faham. Sama konsep sekiranya kita meletakkan nilai sebuah kedai sama dengan jumlah semua premis di Perancis.

“Saya bukan orang kaya. Maaf di atas kewujudan cerita ini dan saya bukan menyertai perniagaan ini untuk mengaut keuntungan,” tambahnya.