Penjaga gol negara, Farizal Marlias, menyifatkan keajaiban menewaskan Vietnam di Hanoi dalam edisi Piala AFF 2014 sebagai motivasi terbaik untuknya mengharungi cabaran getir malam esok.

Malaysia membenarkan Vietnam membawa bekalan selepas pertemuan final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, secara tidak langsung memberi kelebihan jaringan di tempat lawan kepada skuad Naga Emas itu.

Hal yang sama turut berlaku ketika skuad negara bimbingan Dollah Salleh tewas 1-2 dalam pertembungan separuh akhir pertama di laman sendiri sebelum melakar kejutan dalam aksi timbal balik di tempat lawan apabila menang 4-2 untuk mara ke final dengan agregat 5-4 dalam edisi 2014.

Farizal antara watak penting kejayaan skuad negara ketika itu apabila bertindak selaku penjaga gol utama pasukan selain penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, yang mencetak nama selaku penjaring.

"Kami pernah mempamerkan kebangkitan di sini (Hanoi) tetapi itu merupakan perkara yang sudah lepas.

"Saya percaya walaupun keputusan perlawanan (di Bukit Jalil) tidak menyebelahi kami, saya melihat semangat juang yang tinggi daripada rakan sepasukan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 kepada 2-2, ia satu petanda yang baik," katanya.

Ini merupakan penampilan ketiga Farizal di pentas Piala AFF selepas edisi 2012 dan 2014.

Sememangnya, dia mengharapkan kejayaan mampu memihak kepada Harimau Malaya selepas dua kali kempunan untuk mengucup trofi kejuaraan.

"Apa yang diterapkan akan ditunaikan esok.

"Tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana misi kami adalah untuk menang," katanya lagi.