Legenda Portugal, Luis Figo, yakin Ronaldo akan membuat skuad Real Madrid lebih seimbang sebaik sahaja menemui semula sentuhannya.

Pemenang empat kali Ballon d'Or itu melalui proses penggantungan lima perlawanan sebelum ini, selepas menerima layangan kad kuning kedua dan menolak pengadil ketika aksi menentang Barcelona dalam perlawanan Piala Super Sepanyol, Ogos lalu.

Sepanjang ketiadaannya, skuad Los Blancos keciciran mata selepas sekadar seri dalam pertemuan dengan Valencia dan Levante.

Selepas kembali beraksi buat pertama kali dalam saingan LaLiga musim ini, Madrid sekali lagi kecewa apabila tewas mengejut di tangan Real Betis di laman sendiri.

Bagaimanapun, Figo yang pernah memenangi kejuaraan Eropah bersama Madrid ketika bergelar pemain yakin bahawa pengurus pasukan, Zinedine Zidane, akan kembali menikmati aksi terbaik anak buahnya apabila Ronaldo kembali kepada prestasi asal.

"Ya, sudah pasti Ronaldo adalah pemain penting buat Real Madrid," kata pemenang Ballon d'Or tahun 2000 itu.

"Dia terlepas lima perlawanan dan seluruh pasukan merindui jaringan serta sumbangannya. Kini segala-galanya tampak semakin baik dan pemain-pemajn mula mengejar matlamat yang ditetapkan pada awal musim.

"Mereka bermula dengan baik, memenangi Piala Super Sepanyol dan Piala Super Eropah. Kini Madrid akan kembali mengejar kedudukan pendahulu liga, Barcelona.

"Musim masih lagi panjang dan anda perlu konsisten untuk memenangi liga. Setiap pasukan melalui proses naik dan turun tetapi saya tidak sabar untuk menyaksikan Madrid kembali ke puncak liga," katanya.

Real Madrid akan menyambung aksi LaLiga menentang Getafe, esok.