"Awasi kelibat (Nicolas) Fernandez," itu pesanan penolong jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Roshadi Wahab, menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) II, malam esok.

Menamakan Fernandez sebagai ancaman paling berbahaya, Roshadi berkata kelincahan perancang JDT II itu mampu menafikan hasrat TFC II mempertahankan kejuaraan.

Umpanan berbahaya Fernandez kepada jentera serangan diketuai Mohamad Ghaddar, katanya, perlu dihentikan untuk tidak melepaskan gol mudah di tempat sendiri.

Sebarang jaringan dibolosi hanya akan menguntungkan pasukan lawan yang memiliki rekod baik menang 5-0 di Pasir Gudang dalam saingan Liga Perdana musim ini.

"Kami tidak boleh memberikan kelebihan jaringan tempat lawan kepada JDT II.

"Untuk itu, saya mahu pemain-pemain 'ikat' pergerakan tonggak nombor 10 mereka, iaitu Fernandez," jelas pembantu kepada Tengku Hazman Raja Hassan itu.

Saingan liga musim ini menyaksikan rekod berpihak kepada skuad bimbingan Ervin Boban itu yang mencatat keputusan seri 0-0 sebelum menang besar dalam pusingan kedua.

Roshadi, begitupun, menyifatkan keputusan dalam liga tidak akan menjadikan pihak lawan sebagai pasukan pilihan, sebaliknya mahu TFC II menunjukkan belang sebenar.

"Barisan terkuat akan dipertaruhkan dan penjaring terbanyak, Bruno Suzuki, akan terus ditugaskan merobek pintu gol lawan," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)