Kelab Serie A, Roma, mengesahkan Federico Fazio telah menandatangani kontrak dua tahun lanjutan bersama pasukan itu.

Pertahanan tengah itu memperbaharui kontraknya di Stadio Olimpico sehingga 30 Jun 2021.

"Ini merupakan kali kedua saya melanjutkan kontrak bersama pasukan ini dan saya sangat berpuas hati," kata pemain berusia 32 tahun itu.

"Bermula dari hari pertama, saya berasakan kelab ini meletakkan keyakinan terhadap kemampuan saya, sesuatu yang penting bagi setiap pemain.

"Saya mendapat kepercayaan itu daripada setiap individu yang bertugas di Trigoria (laman latihan Roma)."Selama tiga musim bersama Giallorossi, Fazio telah melakukan 135 penampilan dan menjaringkan 11 gol.

"Fazio merupakan pemain kunci skuad kami dan kerana itu, kami sangat gembira dapat melanjutkan kontraknya," kata Pengarah Sukan Roma, Gianluca Petrachi.

"Kami akan bergantung kepada kebolehan serta pengalamannya. Kualiti yang dimiliki Fazio amat penting dalam perkembangan pemain-pemain muda kami.

"Dia akan bertindak sebagai mentor dalam jentera pertahanan pasukan."

Roma akan membuka kempen baru Serie A di laman sendiri berdepan Genoa, Ahad ini, di bawah kendalian pengurus baru, Paulo Fonseca.

Pau Lopez, Bryan Cristante dan Amadou Diawara merupakan antara pemain yang bakal membuat penampilan pertama.