PDRM menjadi pasukan terawal memuktamadkan pengambilan pemain import musim ini apabila menyambar bekas penyerang Kuantan FA, Dao Bakary, dan bekas pemain Sime Darby, Frederic Pooda, setelah mengekalkan Safuwan Baharudin dan Souleymane Konate.

Pengendalinya, Mohd Fauzi Pilus, menegaskan kedua-dua pemain tersebut diambil kerana memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia, musim lalu.

Bakary pernah beraksi dengan UITM FC dan Perlis sebelum ini, sekaligus menjadikan dia antara awang import paling lama bertahan dalam Liga Malaysia.

Mengenali corak bersaing dalam Liga Malaysia turut memudahkan Fauzi dalam membuat percaturan bagi menghadapi saingan Liga Perdana.

"Alhamdulilah kami telah menandatangani Bakary dan Pooda di samping mengekalkan Safuwan dan Konate.

"Kami juga dapat 'memancing (bekas penjaga gol Johor Darul Takzim) Al-Hafiz (Hamzah) untuk bertandang ke PDRM," jelas Fauzi.

Pada masa sama, Fauzi mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus mengendalikan pasukan.

Justeru, dia bertekad untuk cuba membawa PDRM kembali beraksi dalam Liga Super pada musim 2018.

"Musim lepas tidak berapa baik buat PDRM. Meskipun kami melangkah jauh dalam Piala Malaysia dan Piala FA, namun prestasi dalam liga agak tidak bernasib baik.

"Bagaimanpun, musim ini, amanat telah diberikan kepada saya untuk mempersiapkan pasukan ini," tambahnya.