Pengurusan skuad bola sepak senior negara tetap mengambil langkah berjaga-jaga meskipun mendapat jaminan pertembungan aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang pada 28 Mac ini akan berjalan lancar.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berurusan dengan Persatuan Bola Sepak Korea Utara dan setakat ini tiada masalah.

"Kami telah dimaklumkan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), kami akan menjalankan prosedurnya seperti biasa," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin.

Dalam pada itu, skuad negara akan mengatur aksi persahabatan sama ada menentang Filipina di Manila atau salah satu kelab Liga China dalam perjalanan ke Pyongyang kelak.

"Pasukan kebangsaan mungkin mengadakan perlawanan persahabatan, sama ada di Filipina atau China.

"Ini kerana penerbangan dari China akan terus ke Pyongyang.

"Ataupun, kami akan bertemu sebuah kelab di China sebagai perlawanan pemanas badan sebelum kami terus ke Pyongyang."

FAM juga terus proaktif dalam agenda pelesenan kelab dengan meningkatkan usaha memastikan setiap pasukan memiliki skuad Piala Presiden dan belia, malah sebuah skuad bawah 17 tahun pada masa akan datang.

"Saya nak maklumkan seperti yang diarahkan oleh AFC mengikut pelesenan kelab yang telah diluluskan tahun lepas bahawa semua kelab Liga Super dan Liga Perdana perlu mewujudkan pasukan bawah 21 tahun (B-21) yang akan bertanding dalam Piala Presiden, manakala B-19 untuk Piala Belia.

"Ada kemungkinan kami akan anjurkan Piala B-17 di mana kami sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)."

Februari ini menyaksikan pertandingan-pertandingan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula selain Liga Super dan Liga Perdana yang telah berlangsung lebih awal.

Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia dengan keseluruhannya melibatkan 55 pasukan bakal menghangatkan lagi saingan.