Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu jawapan Persekutuan Bolaasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai denda RM211,560 akibat kekecohan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, November lalu.

FAM sudah menghantar surat untuk mengetahui lebih lanjut terma keputusan yang menjadi rujukan FIFA, namun masih belum menerima sebarang jawapan sebelum tindakan lanjut berbentuk rayuan rasmi dibuat kepada badan induk dunia itu.

"Jika dilihat kepada penerangan nilai denda itu ditetapkan, pengiraan proses diambil, kami boleh bersetuju atau tidak dengan kata putus daripada FIFA itu. Sekarang kami tahu RM50,000 tetapi tidak tahu bagaimana ia dicapai," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Denda yang dikenakan FIFA ke atas FAM itu disebabkan isu keselamatan di Bukit Jalil yang melanggar peraturan dalam artikel 16 dan 26, selepas kemenangan 2-0 skuad negara ke atas Indonesia, 19 November lalu.

Bagaimanapun, Stuart menegaskan rayuan yang akan dibuat bakal merujuk kepada terma keputusan yang bakal dijelaskan FIFA sama ada perlu atau sebaliknya untuk diteruskan.

"Kalau penerangan itu jelas, rayuan mungkin tidak akan diterima. Dalam setiap rayuan, bayaran dikenakan berjumlah 1,000 Swiss Franc (RM4,186). Jika kami fikir keputusan itu jelas, kami juga tidak mahu membazirkan duit."

Dalam perkembangan lain, Stuart mendedahkan FAM bersetuju untuk membuka ruang buat PDRM FA melangsaikan hutang gaji pemain dan jurulatih secara berperingkat tetapi bersyarat.

Kesemua hutang yang telah direkod perlu dilunaskan paling lewat pada 31 Januari ini dan peluang kedua pada 28 Februari depan tetapi kelonggaran diberikan sekiranya wujud persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain atau jurulatih.

Jika kelonggaran itu juga gagal diikuti dan tiada kata sepakat di antara kedua-dua belah pihak, pemotongan enam mata akan dibuat sebelum bermula Liga Malaysia musim ini.

"Seperti yang kami umumkan 15 Januari lalu, setiap pasukan mesti selesaikan tunggakan gaji atau ada persetujuan melibatkan pemain untuk diselesaikan secara ansuran," ujar Stuart.

"Daripada apa yang telah dibentangkan PDRM FA, kami lihat ada pergerakan dan perancangan yang strategik untuk menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat. Proses untuk mendapatkan persetujuan bersama dengan pemain juga tersusun."




Editor: Nafis Abdullah