Ketua Pegawai Eksekutif, Usahama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan aksi Liga Super di antara Perak dan Pahang pada Sabtu ini akan berlangsung dengan kehadiran penonton di Stadium Perak.

Menurut Kevin, Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang hari ini menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan mengurangkan hukuman tiga perlawanan tanpa penonton kepada hanya dua perlawanan.

Dua perlawanan tersebut juga hanya membabitkan perlawanan pada bulan Febuari.

"Saya baru mendapat maklumat bahawa Jawatankuasa Rayuan telah mengurangkan hukuman terhadap PAFA kepada dua perlawanan sahaja.

"Dua perlawanan ini adalah pada 4 Februari berdepan Melaka dan 15 Februari dalam aksi Piala FA," jelasnya.

Perak dikenakan hukuman beraksi tanpa penonton untuk tiga perlawanan sebelum ini, gara-gara kekecohan penonton di Stadium Perak ketika aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta'azim (JDT) 6 Ogos lalu.

Namun, hukuman denda keseluruhan yang berjumlah RM47,000 yang dikenakan terhadap PAFA dikekalkan.

Dalam pada itu, Kevin memberi jaminan FMLLP selaku pentadbir liga akan cuba menggunakan pendekatan berbeza bagi memastikan insiden membabitkan kekecohan penonton berkurangan musim ini.

"Apa yang kita akan cuba buat musim ini ialah untuk menjadi lebih proaktif untuk menjangkakan apa yang boleh berlaku dan bukannya mengambil tindakan terhadap insiden yang telah berlaku," tambahnya.