Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seakan-akan sudah serik dengan aksi persahabatan antarabangsa 'kelas rendah' apabila memilih Tajikistan sebagai lawan skuad negara sebelum menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan.

Pemilihan pasukan kerdil, Sri Lanka, sebagai lawan untuk aksi pemanas badan sebelum berdepan Vietnam, Khamis lalu dikatakan menjadi punca kekalahan 0-1 skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu di Hanoi.

Menyedari perkara itu, FAM sedang berusaha untuk mendapatkan pasukan di ranking ke-115 dunia, Tajikistan, sebagai persediaan sebelum bertemu Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 November ini.

"Daripada satu perlawanan yang mungkin memperlihatkan aksi yang kurang memuaskan daripada skuad kebangsaan ketika menentang Vietnam, kita jangan pula lupa aksi positif mereka dalam perlawanan sebelum ini.

"Kami rasa dengan persiapan (bertemu) dengan pasukan yang agak kuat, iaitu Tajikistan, dan juga dua perlawanan yang amat penting, saya rasa Harimau Malaya akan kembali dengan prestasi yang kita pernah lihat sebelum ini," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pertemuan menentang Tajikistan dijangka tidak berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangasa (FIFA).

Ia dilihat sebagai perlawanan gantian bagi aksi menentang Hong Kong yang terpaksa dibatalkan kerana protes antikerajaan di negara berkenaan.