Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyasarkan untuk skuad kebangsaan layak ke saingan Piala Dunia 2026.

Dalam temubual bersama Fox Sports Asia, Tunku Ismail berkata sasaran itu adalah realistik dan menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang FAM.

Biarpun sedar sasaran itu agak sukar dicapai, katanya, jika semua pihak memberi komitmen dan kerjasama seperti yang diharapkan, ia tidak mustahil menjadi kenyataan.

"Kita perlu mula bekerja keras dari sekarang, tukar struktur pentadbiran dan pemikiran semua yang terlibat," katanya yang dimuat naik ke akaun Facebook FAM.

Piala Dunia 2026 akan menyaksikan perubahan format, di mana 48 pasukan akan bertanding dalam pusingan akhir kejohanan. Slot pasukan dari Asia pula akan ditambah menjadi lapan pasukan.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail agak ragu-ragu apabila diminta memberikan jangkaan terhadap Harimau Malaya dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara, Jun depan.

"Pasukan kebangsaan sudah lama tidur. Lawan kita pula bukan calang-calang. Tetapi saya yakin kita akan berjuang habis-habisan. Beri Mario Gomez (ketua jurulatih kebangsaan) peluang untuk tunjukkan sesuatu."

Ditanya wawasannya sebaik sahaja dilantik sebagai presiden, beliau berkata paling penting ialah pendidikan dan penerapan elemen profesionalisme dalam diri semua yang terlibat.

"Paling jelas, semua pasukan dalam Liga Malaysia perlu dididik untuk tahu mengurus hal kewangan dengan bijak untuk mengelakkan masalah seperti kelewatan pembayaran gaji yang boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti mengatur perlawanan."

Turut diberi perhatian ialah pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, dan katanya: "Perkara ini perlu difikirkan, bukan setakat memberi perhatian kepada mengambil bahagian dalam Liga Super atau Liga Perdana, dan menghabiskan wang yang banyak untuk membeli pemain import.".