Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, memberi bayangan bahawa aksi persahabatan di antara skuad negara dan Nepal akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 2 Jun depan.

Ia merupakan ujian penting buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sebelum menghadapi aksi 'play-off' kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Timor Leste, 7 dan 11 Jun depan.

Hal itu disahkan Stuart selepas keputusan untuk memilih Stadium Nasional dipersetujui Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes, hari ini.

"Aksi persahabatan pada 2 Jun dan ia berkemungkinan besar di Bukit Jalil.

"Kita kena adakan perlawanan persahabatan sebelum berdepan Timor Leste dan pasukan Nepal telah bersetuju untuk mengadakan perlawanan tersebut," katanya.

Aksi persahabatan dengan Nepal itu merupakan permintaan daripada Cheng Hoe selepas ia sebelum ini tertangguh disebabkan lebihan aksi persahabatan dalam waktu rehat antarabangsa, Mac lalu.

"Perlawanan dengan Nepal merupakan perlawanan yang dipilih Tan sendiri.

"Ia sebagai persediaan sebelum menghadapi lawan sebenar.

"Tan berasakan ia merupakan lawan yang sesuai sebelum berdepan Timor Leste," tambahnya.