FAM harap kerjasama ahli gabungan dalam F:30

By Staff Writer 1 November 2018 427
FAM harap kerjasama ahli gabungan dalam F:30
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengakui kerjasama daripada ahli gabungan cukup penting untuk menjayakan peta hala tuju atau 'road map' FAM, F:30.

FAM memahat sejarah tersendiri apabila melancarkan F:30 sebagai pemacu kebangkitan bola sepak negara.

Dalam tempoh 12 tahun, road map yang terbahagi kepada tiga fasa itu merencanakan Malaysia menjadi lima negara terbaik  Asia menjelang tahun 2030.

Itu menjadi keutamaan FAM dengan tujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan bertaraf dunia.

"Perancanganya adalah untuk menghasilkan permainan dan pasukan bola sepak yang lebih baik.

"Sasaran terakhir adalah untuk layak ke Piala Dunia.

"Kami mempunyai 211 ahli persatuan dan kami perlu berkerjasama sebaik mungkin.

"Namun, langkah pertama adalah kami perlu menakluki Asia Tenggara dan kemudian di peringkat Asia," katanya.

Stuart, bagaimanapun, mengakui kerjasama daripada ahli gabungan sebagai pemegang taruh cukup penting untuk menjayakan 'road map' ini.

Menurutnya, satu perjumpaan akan diadakan pada 12 November bagi menerangkan dengan lebih terperinci mengenai hala tuju F:30.

"Ahli gabungan mungkin tidak akan bersetuju dengan kami.

"Jika lapan antara mereka akan mengikuti kami, ia akan menjadikannya keseluruhan 16 ahli gabungan sejak hari ini.

"Ia akan menjadi sesuatu yang baik buat perjalanan kami.

"Sama ada keputusan kami ini tepat atau tidak, hanya masa akan menentukan kelak," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment