Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, enggan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan mengenai pemilihan lima pemain berstatus warisan seperti yang dicadangkan oleh seorang ejen bolasepak dari England.

Stuart sebelum ini menuntut ejen berkenaan untuk segera menyediakan laporan prestasi lima pemain berdarah campuran itu untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, ia hanya akan dapat disediakan selepas seminggu Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, yang berakhir hari ini.

FAM akan menilai daripada aspek prestasi dan latar belakang pemain berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan meskipun badan induk itu dilihat semakin serius untuk mendapatkan pemain berstatus naturalisasi dan warisan.

"Ia untuk memastikan FAM menerima terlebih dahulu segala bukti yang dikatakan ada.

"Selepas itu, kami akan mengadakan perbincangan secara formal dan mengumumkan nama mereka.

"Kami tidak mahu mengumumkannya terlalu awal kerana ia akan mengundang perdebatan," katanya.

Sementara itu, Stuart telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung perubahan venue dan tarikh aksi play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, Jun ini.

Ia selepas Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste didapati tidak menepati piawaian AFC untuk menjalankan perlawanan antarabangsa.

Badan induk Asia itu memberikan tempoh hingga hari ini untuk kedua-dua persatuan menghantar permohonan rasmi.

"Berdasarkan urutan, kami perlu menunggu hingga surat itu dikeluarkan.

"Kami tidak boleh mengeluarkan surat bagi pihak Timor Leste kerana persetujuan itu datangnya daripada mereka.

"Saya diberitahu bahawa pihak Timor Leste akan mengeluarkan surat itu hari ini.

"Sejurus menerima surat daripada Timor Leste, FAM juga akan mengeluarkan surat bagi meminda tarikh (perlawanan pertama) dari 6 ke 7 Jun," tambahnya.