Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan akan membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan AFC B-22 pada 2020.

Tarikh akhir bagi membuat bidaan itu ialah pada Mei dan badan bola sepak negara itu kini sedang memperhalusi kertas cadangan untuk dihantar kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Saingan itu nanti pastinya lebih hebat kerana ia turut menawarkan slot penyertaan ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun tersebut.

Edisi tahun ini di China menyaksikan skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee melakar sejarah untuk mara ke suku akhir.

"Kini beberapa venue sudah sedia tetapi sudah tentu kita juga perlu meningkatkan venue lain. Mungkin ini menjadi perkara baik bahawa yang lain juga boleh menambah baik kemudahan bola sepak.

"Selepas itu, kami berharap mereka menyelenggaranya dengan baik," kata Presiden Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-4 di Johor Bahru, hari ini.