Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan pemain terbaik negara di setiap posisi berupaya dipilih ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bagi membantu beliau mencapai sasaran ke final Kejohanan Piala Suzuki AFF, bulan depan.

Lapan perlawanan diharungi Malaysia tahun ini menyaksikan Cheng Hoe perlu melakukan eksperimen kesebelasan utama.

Ini susulan pemilihan pemain yang terikat dengan tugasan bersama skuad negeri serta kelab dan sehingga kini masih ada pemain yang perlu memberikan tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.

"Beliau akan mendapatkan pemain terbaik yang dimahukannya.

"Saya mewakili pihak pengurusan akan memberikan sokongan yang kuat untuk beliau mempersiapkan pasukan terbaik menjelang kejohanan itu nanti," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohamad Amin.

Aksi persahabatan menentang Sri Lanka, 12 Oktober lalu, menyaksikan lembaran baru buat bola sepak negara apabila pemain naturalisasi pertama menyarung jersi kebangsaan.

Penggempur Pahang, Muhammadou Sumareh, membangkitkan keghairahan penyokong bola sepak tanah air menerusi larian mengujakan dan berkeupayaan menyudahkan peluang di hadapan gawang.

"Sumareh menjaringkan dua gol serta beraksi sepenuh masa sebelum ini.

"Dengan kehadiran Sumareh, ia memberi lebih pilihan kepada Cheng Hoe untuk menguatkan pasukan kebangsaan," tambah Hamidin.