Penjaga gol dan pemain termuda dalam senarai pemain skuad B-19 negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil, tidak menjadikan faktor umur sebagai halangan buatnya untuk berada dalam senarai akhir Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, bulan depan.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu mula bersama skuad kendalian Bojan Hodak itu dalam saingan Kejohanan Piala Sanix, Mac lalu.

Firdaus berkata pendedahan dalam kejohanan jemputan itu menyuntik keyakinannya biarpun bersaing dengan pemain lebih senior.

"Keyakinan saya semakin tinggi selepas menimba pengalaman dalam Piala Sanix.

"Sehingga saat ini, saya masih belajar dan dalam masa sama, saya berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Kelibat Firdaus turut mendapat pujian Hodak. Bagi jurulatih itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini tampak lebih matang dan dia optimis Firdaus mempunyai masa depan cerah jika terus mengekalkan tahap permainannya.

"Dia lebih menonjol berbanding rakan-rakan yang lain semasa Piala Sanix.

"Bagi saya, usia tidak penting asalkan mereka mempamerkan kualiti di atas padang.

"Dia agak tangkas dan salah satu tugas kami ialah melahirkan pemain yang baik untuk skuad kebangsaan.

"Dia dua tahun lebih muda (daripada tonggak skuad B-19) serta memiliki ketinggian sesuai yang merupakan masalah bagi penjaga gol di Malaysia," kata Hodak.