"Motivasi saya semakin tinggi," iItulah yang dirasai calon Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri, selepas menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak sejak tercalon dalam anugerah berprestij Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Menurut pemain berasal dari Kedah itu, pencalonannya di majlis yang akan diadakan di Zurich, Switzerland, itu sedikit-sebanyak telah mengubah cara hidup dan permainannya.

"Terima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan ini memberikan saya motivasi untuk mengharungi cabaran 2017.

"Di Zurich nanti, kalau rezeki berpihak kepada saya, Insya-Allah anugerah itu akan dibawa pulang ke Malaysia," katanya.

Faiz mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk menyarung baju Melayu di majlis itu nanti kerana perlu memenuhi kod berpakaian, namun tidak menolak akan mengenakan persalinan itu di luar dewan.

"Kalau diberi peluang, mungkin saya akan pakai pakaian macam ini, kalau tidak boleh di dalam dewan, Insya-Allah saya akan memakai persalinan ini di luar dewan untuk mengambil gambar bagi tatapan seluruh rakyat Malaysia."