Kapten Sevilla, Sergio Escudero, memuji aksi rakan sepasukannya yang berusaha keras walaupun ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah oleh Bayern Munich.

Skuad kendalian Vincenzo Montella itu menyingkirkan Manchester United dalam pusingan kedua, namun jelas tidak mampu mengatasi pasukan yang baru meraih gelaran juara Bundesliga, Bayern.

Kekalahan 2-1 di Ramon Sanchez Pizjuan minggu lalu gagal dipadamkan Sevilla apabila bertandang ke Allianz Arena, awal pagi tadi, selepas peluang keemasan menerusi tandukan Joaquin Correa sekadar singgah ke palang gol.

"Kami sedikit kecewa. Kami datang ke sini untuk mendapatkan kemenangan tetapi sekadar percaya untuk menang tidak cukup untuk mendapatkannya," kata Escudero.

"Kami meraih beberapa peluang dalam babak pertama, mungkin kami dapat mencatat jaringan dan mengikat kedudukan. Kami pulang hampa.

"Dua perlawanan yang sukar sudah kami tempuh. Mungkin kami penat secara fizikal tetapi membuktikan Sevilla adalah pasukan yang hebat, bekerjasama sepanjang masa."

Kelayakan ke Liga Europa kini tampak satu-satunya jalan buat Sevilla kembali ke kancah Eropah pada musim depan selepas menduduki tangga ketujuh LaLiga yang berbaki tujuh perlawanan setakat ini dan bakal menyambung aksi menentang Villareal pada Sabtu ini.