BARCELONA 3 REAL SOCIEDAD 2

Jurulatih Barcelona, Luis Enrique, menegaskan Andres Iniesta kekal sebagai tonggak utama untuk skuad Catalan itu sambil berkata Andre Gomes belum bersedia menggantikan pemain antarabangsa Sepanyol itu dalam kesebelasan utama Barca.


Enrique memberikan Gomes peluang menggantikan Iniesta ketika kemenangan 3-2 ke atas Real Sociedad dalam aksi LaLiga awal pagi tadi tetapi bekas pemain Valencia berkenaan gagal menarik perhatian dan akhirnya memberi laluan kepada rakan sepasukan berpengalaman itu ketika permainan berbaki 20 minit.

"Iniesta adalah unik dan ia benar-benar tidak dapat dinafikan," kata Luis Enrique apabila ditanya mengenai keputusan merehatkan pemain berusia 32 tahun itu dan memulakan dengan Gomes.

"Saya sentiasa kagum dan hargai dia (Iniesta).

"Adalah tidak masuk akal untuk berfikir seseorang boleh mengambil tempatnya."

Barcelona dalam prestasi tidak meyakinkan untuk mengalahkan Sociedad dan Enrique mengakui mereka perlu meningkatkan prestasi dalam persediaan untuk menentang Juventus dan Real Madrid.

Mereka akan mencari kebangkitan selepas tewas 0-3 dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang skuad Turin itu Rabu ini, sebelum musuh ketat mereka menanti di Santiago Bernabeu pada Ahad untuk aksi penting memburu gelaran LaLiga.

"Kami mendapat hasil yang baik daripada perlawanan menentang lawan yang sukar," katanya.

"Saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain. Kami berhak menang walaupun kami menderita

"Kami perlu menjadi sempurna menentang Juventus dan Madrid.

"Pemain perlu keyakinan dan berasa selesa. Membuatkan perkara itu berlaku adalah tugas saya sebagai jurulatih."

Dengan Madrid bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk menewaskan Sporting Gijon 3-2 semalam, kemenangan Barca mengekalkan mereka tiga mata di bekalang skuad Zinedine Zidane.

Clasico Disember di Camp Nou berakhir 1-1, dengan Sergio Ramos menjaringkan gol pada saat-saat akhir itu untuk menghapuskan gol pendahuluan Luis Suarez.