Luis Enrique menafikan dakwaan bahawa Alvaro Morata kini tiada keyakinan selepas penyerang itu gagal menyumbat sebarang gol dalam kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas Norway, awal pagi tadi.

Sepanyol memulakan kempen kelayakan Euro 2020 dengan kemenangan selepas sepakan penalti yang diraih daripada Morata disempurnakan Sergio Ramos, sekali gus membolehkan juara edisi 2008 dan 2012 itu mengutip tiga mata.

Namun, penggempur Atletico Madrid yang kini dipinjam daripada Chelsea itu gagal meletakkan nama dalam senarai penjaring walaupun mencipta enam percubaan, lebih daripada pemain lain di Mestalla, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Enrique berasa Morata telah mengubah haluan kariernya sejak meninggalkan Stamford Bridge dan kembali ke ibu kota Sepanyol itu secara pinjaman.

"Saya melihat dia jauh lebih bagus berbanding ketika di Chelsea," ujar Enrique.

"Dia sentiasa tampil hebat bersama kami, namun kini lebih banyak memegang bola seperti dalam aksi hari ini.

"Dia melakukannya dengan yakin. Morata memiliki beberapa peluang dan dia berada di tempat yang sepatutnya. Dia tidak begitu bernasib baik tetapi melalui perlawanan yang hebat, malah yang terbaik bersama kami setakat ini.

"Ia adalah aksi sempurna kerana kami mencipta banyak peluang terbuka. Kami mendominasi Norway yang cuba menyerang kami menerusi situasi bola mati.

"Kami tahu perlawanan akan menjadi begitu tetapi saya sangat gembira melihat prestasi pasukan daripada semua sudut.

"Saya mahu pemain menjaringkan 50 peratus daripada peluang yang dimiliki dan kami akan meraih keputusan bagus tetapi inilah bola sepak. Kami boleh meningkatkannya untuk memberi keyakinan kepada pemain."