GRANADA 1 BARCELONA 4

Luis Enrique berharap Neymar terus menjaringkan 900 gol lagi selepas merakamkan gol ke-100 buat gergasi LaLiga itu ketika menewaskan Granada 4-1 dalam saingan LaLiga.


Ia merupakan perlawanan yang akan menjadi kenangan buat Neymar, yang membantu pasukan meraih tiga mata ketika bertandang ke Granada, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Lionel Messi dan Luis Suarez untuk merakamkan gol ke-100 buat The Catalans selepas membuat 177 penampilan.

Pengendali Barca, Enrique, memberikan pujian kepada Neymar -- yang berhijrah ke Nou Camp dari Santos pada 2013.

"Neymar telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang berbisa," kata Enrique.

"Dia merupakan salah seorang pemain yang berkualiti di dunia dan mendapatkan khidmatnya adalah satu keputusan yang tepat.

"Saya berharap dia akan menjaringkan 900 gol, supaya dapat melihatnya terus berada di Barcelona buat masa akan datang."

Dalam pada itu, Enrique berpuas hati dengan persembahan pasukannya selepas kembali daripada aksi perlawanan antarabangsa.

Jaringan Suarez, Paco Alcacer, Ivan Rakitic dan Neymar memastikan Barca terus mengekori pendahulu LaLiga, Real Madrid, dengan perbezaan dua mata.