SEPANYOL 1 BOSNIA 0

Sepanyol gagal melayakkan diri ke separuh akhir Liga Negara-Negara tetapi Luis Enrique tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan sejak berakhirnya Piala Dunia.


Bekas pengendali Barcelona itu mengambil alih skuad kebangsaan daripada Fernando Hierro selepas tamat kempen Russia 2018.

Meraih dua kemenangan meletakkan mereka mendahului kumpulan yang dibarisi England dan Croatia sebelum dihimpit persembahan kurang cemerlang.

Kekalahan di laman sendiri kepada England selepas gagal mengatasi Croatia di Zagreb, menyebabkan Sepanyol gagal mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara.

Kemenangan 2-1 England ke atas Croatia awal pagi tadi menyaksikan mereka ke separuh akhir manakala Sepanyol kekal dalam Liga A selepas menamatkan saingan di tempat kedua.

Bagaimanapun, Enrique, tidak kecewa kerana meraih banyak pengalaman positif selepas mengatasi Bosnia-Herzegovina 1-0.

"Sememangnya, kami mahu melangkah ke separuh akhir tetapi Sepanyol telah diundi dalam kumpulan yang sukar," katanya.

"Kami terlepas peluang itu apabila tewas di Seville dan Zagreb.

"Saya mengambil positif enam perlawanan yang telah ditempuhi. Saya menyedari pemain-pemain tidak mampu memberikan yang terbaik tetapi saya masih berpuas hati dengan persembahan yang telah dipamerkan," ujarnya.

Kemenangan di Las Palmas menyaksikan Enrique melakukan perubahan serta meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain muda, tetapi kapten pasukan, Isco, merupakan pemain yang menyerlah dalam perlawanan tersebut.

"Dia seorang pemain yang berkualiti dan memiliki sikap yang sangat bagus.

"Lilitan kapten diberikan kepadanya kerana dia merupakan pemain yang paling berpengalaman dalam kesebelasan utama."