Enam tonggak JDT dijangka perkuatkan Harimau Malaysia

By Shaiful Shamsudin 8 March 2017
 Enam tonggak JDT dijangka perkuatkan Harimau Malaysia
Skuad kebangsaan mengutamakan pemain berpengalaman dalam membentuk barisan yang bakal berdepan Korea Utara dalam aksi Kelayakan Kumpulan B, Piala Asia, pada 28 Mac ini.

Menurut penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Waras, faktor pengalaman adalah eleman penting ketika berdepan Korea Utara yang berada di ranking ke-120 dunia berbanding skuad negara yang kini di ranking ke-162 dunia.

Bagi menguatkan barisan negara, Hassan mengesahkan enam pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) akan dipanggil bagi menambah keampuhan pasukan.

"Pemain-pemain yang akan dipanggil nanti majoritinya adalah pemain-pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan kecuali muka baru, Stuart Wark. 

"JDT juga memberi kerjasama untuk skuad kebangsaan kali ini. 

"Saya harap dengan kerjasama ini, kami dapat memantapkan lagi pasukan kali ini," katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, hari ini. 

Senarai 25 pemain negara ke latihan pusat akan ditentukan dalam tempoh sehari-dua ini, selepas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menentukan senarai pemain yang akan dipanggil.

Kim Swee baru saja pulang dari London selepas menghadiri kursus selama sebulan bersama kelab Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), dan kini berada di Melaka bagi urusan keluarga susulan kematian bapanya, kelmarin.

Dalam pada itu, Hassan optimis tiada masalah buat skuad negara jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menamakan China sebagai venue perlawanan Korea Utara-Malaysia.

"Negara yang boleh menjadi tuan rumah di venue berkecuali ini mungkin adalah China. 

"Saya berasakan tiada masalah sebab hubungan negara kita dan China pun bagus.

"Pemain-pemain negara pun dijangka dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sana."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment