MISC-MIFA 5 JDT II 3

Misi MISC-MIFA memburu mata pertama Liga Perdana musim ini terlunas apabila berjaya menumbangkan wakil selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 5-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.


MISC-MIFA menghuni tangga tercorot Liga Perdana apabila tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Beraksi dalam suasana panas terik, MISC-MIFA ketinggalan seawal minit ke-18 menerusi gol pemain import JDT II, Nicholas Fernandez, sebelum bolos kali kedua hasil jaringan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-38.

Anak buah Jacob Joseph bangkit merapatkan jurang seminit kemudian menerusi Tagne Foguieng Bodric Dimitri sebelum Michael Ijezie mengejutkan pasukan pelawat dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan babak pertama.

Tagne sekali lagi muncul wira apabila meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan gol ketiga lima minit selepas babak kedua bermula.

Skuad kendalian Hamzani Omar kembali mengikat perlawanan 3-3 tatkala sepakan penalti diberikan pengadil berjaya disempurnakan Nicholas.

Tagne kemudiannya memastikan pasukan pelawat pulang dengan tangan kosong apabila berjaya meledak dua gol pada minit ke-77 dan 93 perlawanan bagi mengesahkan tiga mata pertama buat MISC-MIFA musim ini.

Keputusan lain:

UITM FC 2-2 PERLIS FA