Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, mengesahkan pertahanan kanan, Serge Aurier, mahu meninggalkan pasukan itu selepas menarik minat dua kelab Manchester serta Juventus.

Aurier tidak menyertai kempen pramusim untuk Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Amerika Syarikat ketika Manchester United, Manchester City dan Juventus dilaporkan cuba untuk mendapatkan khidmatnya.

Emery mengesahkan pertahanan Ivory Coast itu mahu meninggalkan kelab selepas menyertai juara Ligue 1 enam kali itu pada tahun 2014.

“Saya sudah bercakap dengan Aurier dan memberitahunya saya mahukan dia kekal.

“Dia berhasrat mahu berpindah dan mahu berada di Paris untuk menyelesaikan urusan perpindahan, sebab itu kami mendapatkan Dani Alves,” kata Emery.

Pemain lain yang turut bakal meninggalkan PSG adalah pemain tengah Poland, Grzegorz Krychowiak.

Krychowiak menyertai PSG pada awal musim lalu bersama-sama Emery dari Sevilla, namun hanya membarisi kesebelasan utama sebanyak tujuh kali dalam aksi Ligue 1 musim lalu.

“Saya ada berbincang dengan Krychowiak tetapi di PSG, seorang pemain perlu cepat menyesuaikan diri. Jadi, mungkin lebih baik buatnya untuk mencari pasukan baru yang lebih sesuai dengan gaya permainannya."