Paris Saint-Germain (PSG) sekali lagi terlepas Liga Juara-Juara tetapi ketua jurulatih, Unai Emery menyifatkan beliau gembira di atas kejayaan pasukan musim ini selepas melengkapkan kejayaan treble dalam saingan domestik.

PSG menambah gelaran Coupe de France selepas menjuarai Ligue 1 dan Coupe de la Ligue hasil kemenangan 2-0 ke atas kelab divisyen tiga, Les Herbiers.

Giovani Lo Celso dan Edinson Cavani meledak gol di Stade de France bagi memastikan PSG merangkul kejayaan treble buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.

Emery – yang bakal meninggalkan jawatan pengendali PSG pada penghujung musim ini, menyifatkan musim PSG dianggap berjaya walaupun tersingkir daripada saingan UCL.

"Ia merupakan sasaran kami meraih kejayaan treble ini," kata Emery. "Saya gembira di atas kejayaan ini.

"Kami tersingkir daripada UCL, kami tidak boleh mengelak perkara itu tetapi pasukan telah menampilkan aksi cemerlang sepanjang musim.

Ditanyakan mengenai masa depannya selepas meninggalkan PSG, Emery berkata, "Buat masa ini, kami akan cuba menikmati kejayaan ini dan melihat perancangan masa depan selepas ini."

PSG turut menjuarai Trophee des Champions pada Julai, menjadikan mereka merangkul empat kejuaraan bagi musim 2017-18.